Soalan 1: Apakah Penyakit Polio?

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio. Virus ini menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.

Soalan 2: Apakah Status Penyakit Polio di Malaysia?

Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992, dan sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio pada 8 Disember 2019.

Soalan 3: Adakah Negara Kita Berisiko untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio?

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio sekiranya terdapat lokaliti dengan liputan imunisasi polio kurang daripada 95% serta tidak mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran.

Soalan 4: Apakah Risiko Jangkitan Virus Polio kepada Pelawat yang Mengunjungi Negeri Sabah?

Berdasarkan kepada laporan The International Health Regulations Emergency Committee Regarding the International Spread of Polio VirusWorld Health Organisation (WHO), kewujudan vaccine-derived poliovirus (VDPV) boleh memberi risiko jangkitan kepada pelawat. Justeru, pelawat yang bercadang mengunjungi Negeri Sabah dinasihatkan untuk memastikan telah mendapat imunisasi polio yang lengkap serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

Soalan 5:  Siapakah yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio?

Seseorang individu adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;

  • -Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas membuang air besar atau selepas menukar lampin bayi.
  • -Tidak menggunakan bekalan air bersih.
  • -Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  • -Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
  • -Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
  • -Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Soalan 6: Bagaimanakah Cara Virus Polio Merebak?

Virus polio menjangkiti manusia secara tinja- mulut (faecal- oral) Virus ini memasuki tubuh melalui beberapa cara seperti:

  • Memakan makanan dan/ atau minuman tercemar.
  • Tangan tercemar dengan najis dan kemudian menyentuh mulut.
  • Apabila objek seperti mainan yang tercemar dimasukkan ke dalam mulut.

Apabila virus ini masuk ke dalam badan, ia akan membiak dalam usus. Ia kemudiannya dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain yang tercemar dengan najis tersebut. Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) minggu selepas gejala muncul.

Sumber : https://www.infosihat.gov.my/index.php/polio