Profil:
Rompin merupakan daerah kedua terbesar di negeri Pahang selepas daerah Jerantut dan berkedudukan di bahagian selatan negeri tersebut. Ia adalah daerah yang bersempadan dengan negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Johor. Selain itu daerah Rompin turut berkongsi sempadan dengan daerah Pekan di utara, serta daerah Maran dan Bera di bahagian barat. Daerah Rompin mempunyai 6 mukim iaitu Endau, Keratong, Pontian, Kuala Rompin, Tioman dan Bebar. Bandar utamanya iaitu Kuala Rompin terkenal dengan gelaran ‘Bandar Udang Galah’.
Sejarah
Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, Kuala Rompin merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional di antara Merchong di sebelah utara dan Pontian di selatan. Mengikut cerita, Rompin mendapat namanya dari sepohon pokok ru yang luar biasa iaitu pokok ru itu ramping dan tidak seperti pokok-pokok ru yang lain. Pada mulanya tempat itu dipanggil Ru Ramping dan sesudahnya menjadi Rumping atau Rumpin (Rompin) sebagaimana sekarang. Encik Yahya bin Muhammad, yang berusia lebih 100 tahun, menyatakan bahawa terdapat pelbagai versi cerita mengenai asal-usul nama Rompin itu. Antaranya adalah kisah bahawa pada masa dahulu ada seorang bernama Riffin yang tinggal di bawah sebatang pokok ru besar. Oleh kerana itu tempat berkenaan dipanggil orang sebagai ‘Rupin’ yang lama-kelamaan bertukar kepada ‘Rumpin’.
 
Kampung Kuala Rompin yang dikenali sekarang adalah sebuah bandar lama yang dibuka oleh Datuk Pahlawan Ahmad pada tahun 1888, seorang yang telah banyak berjasa kepada Sultan Pahang ketika itu dan juga dalam peristiwa Perang Kelang (1872-1873). Oleh kerana tempat ini letaknya jauh ke ulu maka penduduk di situ telah berpindah dan membuka kampung baru bertentangan dengan Tanjung Tengku. Mengikut cerita kampung yang kemudian ini telah dibuka dalam tahun 1926.
Semenjak kampung baru itu dibuka maka bertambah ramai orang datang dan membuka tanah di kampung tersebut. Maka jadilah Kuala Rompin sebagai kampung nelayan yang besar yang disinggahi oleh kapal-kapal kecil penyusur pantai yang berulang-alik dari Singapura dan Kuantan. Sebelum menjadi sebuah daerah, Rompin merupakan sebuah mukim di bawah pentadbiran daerah Pekan. Penghulu pertama mukim Rompin ialah Panglima Kechik.
 
Dalam tahun 1952, kerajaan Pahang telah menubuhkan empat buah sub-daerah kecil iaitu Jerantut, Chenor, Triang dan Rompin. Tujuannya adalah untuk memudahkan perhubungan dengan kawasan tersebut terutama dalam urusan pentadbiran. Seorang pegawai pentadbiran yang menjalankan tugas sebagai Penolong Pegawai Daerah ditempatkan di daerah kecil ini.
Pentadbiran daerah Rompin ketika itu mengandungi lima mukim iaitu Endau, Pontian, Pulau Tioman, Keratong serta Rompin yang berpusat di Kuala Rompin. J.B. Melford dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah yang pertama pada 16 Disember 1952 untuk menjalankan pentadbiran daerah kecil Rompin.
 
Sistem perhubungan terawal di Rompin adalah dengan menggunakan jalan laut. Barang-barang didapati melalui kapal-kapal kecil yang menyusuri pantai dan perahu-perahu besar seperti jalak dan tongkang. Walau bagaimanapun pada musim tengkujuh jalan laut ke Kuala Rompin ini adalah merbahaya dan ditutup kepada laluan.
 
Kesukaran perjalanan di antara bandar-bandar di selatan dan utara dengan Kuala Rompin berakhir apabila jalan raya dari Pekan ke Endau siap dibina pada awal tahun 1960an. Kemudiannya feri yang digunakan untuk mengangkut kenderaan menyeberangi Sungai Rompin di Sabak digantikan dengan sebuah jambatan dalam tahun 1975.
 
Pada 31 Julai 1976, Rompin telah diisytiharkan sebagai sebuah daerah penuh dan menjadi daerah yang ke-9 di negeri Pahang Darul Makmur dengan keluasan keseluruhan 5,247 kilometer persegi.
 
Sumber: Perbadanan Muzium Negeri Pahang