http://kgpianggu.pjk.com.my/index.php/warga-pi1m/infrastruktur/kesihatan?start=50#sigFreeId22b42c2ec4
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Apa itu beguk?
Menurut portal MyHEALTH yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beguk merupakan penyakit yang disebabkan virus Paramyxovirus dan menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar parotid.
Bagaimana ia merebak?
Beguk yang juga dikenali sebagai bengkak cantik atau mumps, mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin.
Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.
Simptom penyakit
Tanda dan wabak jangkitan bermula selepas 12 hingga 25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada tanda-tanda awal. Mereka berkemungkinan menghadapi:
• Demam
• Sakit kepala
• Mulut kering dan hilang selera
• Keletihan
• Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid
Adakah ia satu penyakit yang ringan (biasa)?
Majoriti jangkitan adalah ringan dan akan pulih sendiri. Jika tanpa komplikasi, keadaan akan kembali normal selepas 10 hingga 12 hari.
Walaupun semua yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, segelintir juga menghadapi risiko bahaya seperti berikut:
• Encephalitis (pembengkakan pada otak)
• Meningitis (pembengkakan pada lapisan otak)
• Panccreatitis (pembengkakan pada pankreas)
• Orchitis (lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa
• Pekak
Cara merawat
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan :
• Paracetamol bagi mengurangkan demam dan rasa sakit
• Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid
• Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.
Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ia tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.
Soalan 1: Apakah Penyakit Polio?
Penyakit polio adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus polio. Virus ini menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal. Sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut kepada manusia.
Soalan 2: Apakah Status Penyakit Polio di Malaysia?
Kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992, dan sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region), telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio. Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio pada 8 Disember 2019.
Soalan 3: Adakah Negara Kita Berisiko untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio?
Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio sekiranya terdapat lokaliti dengan liputan imunisasi polio kurang daripada 95% serta tidak mengutamakan kebersihan diri dan persekitaran.
Soalan 4: Apakah Risiko Jangkitan Virus Polio kepada Pelawat yang Mengunjungi Negeri Sabah?
Berdasarkan kepada laporan The International Health Regulations Emergency Committee Regarding the International Spread of Polio Virus, World Health Organisation (WHO), kewujudan vaccine-derived poliovirus (VDPV) boleh memberi risiko jangkitan kepada pelawat. Justeru, pelawat yang bercadang mengunjungi Negeri Sabah dinasihatkan untuk memastikan telah mendapat imunisasi polio yang lengkap serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.
Soalan 5: Siapakah yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio?
Seseorang individu adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;
- -Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas membuang air besar atau selepas menukar lampin bayi.
- -Tidak menggunakan bekalan air bersih.
- -Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
- -Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
- -Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
- -Mengendalikan spesimen makmal virus polio.
Soalan 6: Bagaimanakah Cara Virus Polio Merebak?
Virus polio menjangkiti manusia secara tinja- mulut (faecal- oral) Virus ini memasuki tubuh melalui beberapa cara seperti:
- Memakan makanan dan/ atau minuman tercemar.
- Tangan tercemar dengan najis dan kemudian menyentuh mulut.
- Apabila objek seperti mainan yang tercemar dimasukkan ke dalam mulut.
Apabila virus ini masuk ke dalam badan, ia akan membiak dalam usus. Ia kemudiannya dikumuhkan melalui najis dan menjangkiti orang lain yang tercemar dengan najis tersebut. Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang lain dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) minggu selepas gejala muncul.
Saya tidak menghidap sakit mental. Jadi adakah mental saya sihat?
- Mental yang sihat tidak bermakna terlepas dari penyakit mental.
- Amat penting untuk kita memahami maksud sebenar mental yang sihat.
- Individu yang sihat mental berupaya mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat (Definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia - WHO)
- Menurut Polisi Kesihatan Mental Malaysia, - Kesihatan Mental merujuk kepada keupayaan individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi di antara satu sama lain bagi menjana perasaan sejahtera dan fungsi yang optima dan menggunakan kebolehan kognitif / intelek, afektif / emosi dan perhubungan dalam mencapai matlamat individu dan kumpulan.(Adaptasi dari Kanada)
- Secara amnya anda mempunyai kesihatan mental yang positif jika anda:
- Selesa dengan diri sendiri
- Selesa dengan orang lain
- Selesa dengan persekitaran
- Dapat memenuhi tuntutan kehidupan
- Individu yang sihat mental dapat mengekalkan fungsi biologi, psikologi, sosial dan kerohanian yang baik.
Bagaimana saya boleh mencapai dan mengekalkan minda yang sihat?
- Anda boleh mencapai serta mengekalkan kesihatan mental yang positif mengikut panduan dan tip yang diberikan.
Langkah-Langkah Mudah Untuk Mencapai Kesihatan Mental Yang Baik
- Mengamalkan cara hidup sihat
- Berpandukan Kenyataan (Be Realistic)
- Berfikir dengan positif
- Buat keputusan secara bijak
- Cari kawan
- Dengar suara hati anda
- Belajar menangani kritikan dengan baik
- Belajar menjadi diri sendiri
- Belajar untuk menyukai diri sendiri
- Belajarlah berkata "TIDAK"
- Rancang masa anda dengan baik
- Jarakkan perubahan-perubahan dalam hidup
- Bina keluarga bahagia
- Kongsi masalah anda dan mendapat bantuan dari professional bila diperlukan.
- Amalkan nilai-nilai keugamaan dan moral yang baik.